Utusan Malaysia : BANJIR sudah mula melanda negeri-negeri di Pantai Timur beberapa hari lalu. Walaupun jumlah yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan setakat ini tidak sebesar pada tahun-tahun lalu, banjir tetap banjir.
Apabila ada bencana ini akan pasti berlaku kehilangan harta benda atau nyawa. Skala kerosakan atau kemusnahan sahaja yang berbeza sama ada besar atau kecil.
Oleh kerana banjir sudah seperti satu ‘acara tahunan’ persiapan bagi menghadapinya sepatutnya bukan lagi menjadi satu masalah. Agensi-agensi terlibat sama ada di peringkat negeri dan pusat sudah cukup berpengalaman untuk berhadapan dengan situasi ini.
Semua agensi juga mempunyai pelan kesiapsiagaan masing-masing. Kerja-kerja membantu mangsa banjir lebih mudah dan berkesan menerusi pelan tindakan yang dirancang lebih awal itu.
Bagaimanapun, nama lagi banjir. Bencana alam ini mungkin datang pelbagai keadaan, rupa, tidak tentu masa dan secara mengejut.
Pelan tindakan kesiapsiagaan boleh membantu mengurangkan kesan buruk banjir jika perkara seumpama itu berlaku. Apa yang berlaku ketika bah besar besar di Kelantan pada tahun 2014 perlu dijadikan pengajaran.
Kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa banjir dikatakan berlangsung dalam suasana kelam-kabut kerana tidak ada satu pelan atau mekanisme kesiapsiagaan awal.
Keadaan diburukkan lagi dengan ‘kejahatan’ segelintir manusia yang menggunakan media sosial untuk menimbulkan keresahan dan rasa panik dalam kalangan rakyat dengan cerita-cerita tidak benar.
Kesan banjir besar tersebut masih dirasakan sehingga ke hari ini. Jumlah kerugian termasuk kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda serta infrastruktur mencecah berbilion ringgit.
Segala-galanya lumpuh dalam sekelip mata. Kesan selepas tragedi paling dirasai oleh mangsa. Bencana besar itu ‘menghanyutkan’ seluruh kehidupan mereka.
Kebanyakan mangsa hilang segala-galanya. Harta benda, orang tersayang, pekerjaan dan tempat berteduh. Sampai sekarang pun masih ada mangsa yang hidup menumpang.
Rumah yang dihanyutkan air ada yang belum berganti sehingga kini.
Penulis tertarik dengan ‘Model Kemaman Siapsiaga’ satu pelan menghadapi banjir yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Pelan itu diguna pakai di daerah tersebut setiap kali banjir. Pengurusan banjir di daerah tersebut mendapat perhatian dan pujian ramai.
Pelan kesiapsiagaan itu telah diangkat sebagai contoh terbaik dalam mengurus banjir dan memperoleh pengiktirafan Gold Standard oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2015.
Pelan tersebut juga dijadikan model kepada prosedur operasi standard (SOP) banjir di kawasan-kawasan terjejas.
Model siapsiaga itu disifatkan sebagai satu pelan yang komprehensif dengan memberi penekanan kepada pengurusan sebelum banjir, ketika kejadian dan selepas banjir.
Pelan yang sentiasa ditambah baik itu antara lain menyediakan kemudahan tempat pendaratan helikopter, depot pangkalan hadapan yang mencukupi, pencawang telekomunikasi yang selamat daripada ditenggelami air, janakuasa elektrik tambahan serta kemudahan lain seperti beg tidur yang menjadikan pentadbiran banjir lebih berkesan.
Salah satu aspek lain yang turut diberi keutamaan dalam Model Kemaman Siapsiaga ialah skim insurans untuk mangsa banjir yang dikenali sebagai ‘Kampungku’, dipercayai pertama seumpamanya diperkenalkan kepada mangsa banjir.
Mangsa-mangsa terlibat perlu membayar RM50 sahaja manakala tambahan RM24 lagi dibayar oleh Pejabat Parlimen Kemaman. Skim itu memberi manfaat besar kepada mangsa banjir di daerah berkenaan.
Menerusi skim insurans itu, mangsa yang ditimpa bencana atau banjir menerima RM1,000 dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dan jumlah tersebut membantu mangsa membeli banyak barangan keperluan.
Menerusi skim itu juga sejumlah RM569,000 pampasan insurans bencana telah diagihkan kepada 569 mangsa banjir di Kemaman sejak 2015.
Skim yang dikatakan sudah menjadi budaya penduduk di daerah itu turut menarik perhatian penduduk lain yang tidak tinggal di kawasan banjir. Mereka menyertainya sebagai persediaan menghadapi musibah bentuk lain yang membawa kemusnahan harta benda seperti kebakaran dan ribut taufan.
Ahmad Shabery turut merancang memperkenal dan membangunkan pelan insurans pertanian bagi melindungi petani dan penternak yang menjadi antara kumpulan terbesar mangsa banjir atau bencana lain.
Apa yang terkandung dalam Model Siapsiaga Kemaman seharusnya menjadi ikutan kepada semua agensi yang terlibat dalam pengurusan banjir di negara ini lebih-lebih lagi perkara berkaitan skim perlindungan insurans untuk mangsa banjir.
Selama ini aspek ini seringkali dilihat sebagai sukar untuk dilaksanakan dengan kekangan-kekangan tertentu seperti bajet kewangan, sikap syarikat-syarikat insurans atau institusi kewangan dan jumlah mangsa yang terlalu besar.
Bagaimanapun pelan perlindungan insurans Kampungku yang terkandung di dalam model pengurusan banjir Kemaman membuktikan sebaliknya.
Perkara yang baik itu boleh dilaksanakan, berjaya dan banyak meringankan beban mangsa banjir.
Pokok pangkalnya mesti ada kesungguhan dalam kalangan wakil rakyat terlibat. Ahli Parlimen Kemaman itu telah membuktikannya!
- https://chat.whatsapp.com/1o2tae6AgdID4dp45KTTP9