LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang memperhalusi mekanisme terbaik bagi melaksanakan skim insurans untuk golongan peladang dan penternak dalam menghadapi musibah seperti banjir.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata draf pertama bagi skim insurans yang akan dibangunkan Agrobank itu telah siap, namun pihaknya meminta ia diperhalusi bagi memastikan modul dihasilkan lengkap dan menyeluruh dalam semua peringkat pelaksanaannya.
Beliau berkata ia bagi mengelak sebarang masalah seperti salah faham apabila golongan sasar dikehendaki membiayai sendiri skim insurans yang diambil mereka.
“Jadi saya suruh (Agrobank) fikir balik. Modul ini mestilah betul dari awal-awal lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dialog Niaga Agrobank 2017 (DNA2017) di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian juga menjadikan modul skim insurans untuk peladang dan penternak yang diguna pakai di luar negara sebagai rujukan.
Shabery berkata usaha mewujudkan skim insurans itu penting untuk meningkatkan keupayaan golongan berkenaan dalam menghadapi bencana alam tanpa perlu terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
Dalam ucapannya pada majlis dihadiri 300 peserta itu, beliau berkata kerajaan sedang merencana kaedah terbaik dalam memastikan rakyat mendapat akses makanan berkualiti yang mencukupi menjelang 2050 ketika negara mempunyai anggaran penduduk 50 juta. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment