Thursday, 23 February 2017

TemanNita sedia dana RM100 juta bantu usahawan wanita

KHAMIS, 23 FEBRUARI 2017 - 7:00PM Oleh Fahmy Azril Rosli fahmy.azril@bh.com.my

SERDANG: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional melancarkan produk pembiayaan terbaru iaitu Skim Pembiayaan Program TemanNita khusus bagi wanita, dengan dana berjumlah RM100 juta tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata skim itu dijangka dapat membantu dan mendorong golongan wanita menambah pendapatan serta meningkatkan ekonomi keluarga sebagai usahawan.

Setakat ini, katanya, seramai 140 usahawan membabitkan 28 kumpulan sudah menerima pembiayaan berjumlah RM990,000, dengan 10,000 usahawan menjadi sasaran menikmati skim terbabit.

"Skim ini menggunakan konsep berkumpulan yang menyediakan kemudahan pembiayaan lebih mudah, cepat dan berkesan, sekali gus memenuhi keperluan perniagaan mikro.

"Pemohon mesti membentuk kumpulan membabitkan lima ahli wanita sebagai antara syarat layak mendapat pembiayaan.

"Menerusi skim ini, had pembiayaan pertama adalah RM10,000 dan pembiayaan seterusnya sehingga RM20,000, sesuai dengan keperluan usahawan mikro," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Pembiayaan Program TemanNita yang turut dihadiri Penasihat Pembangunan Keusahawanan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, TEKUN bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang bertindak sebagai agensi pembangunan dalam usaha mempelbagaikan cabang perniagaan kepada usahawan.

"Melalui kerjasama ini, usahawan wanita yang berminat boleh mendapat modal untuk menjalankan perniagaan berkonsepkan francais seperti Ayan Pusing Bonda, Putu Bambu World, Lpizz, Oblong Burger dan Talapia Bakar," katanya.

Ahmad Shabery turut memuji komitmen tinggi golongan wanita yang membuktikan mereka adalah peminjam yang baik dari segi pembayaran balik.

Dalam pada itu, Shahrizat mencadangkan wanita yang menjadi ketua keluarga dan ibu tunggal diberi peluang menambah pendapatan bagi membantu keluarga.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/252108?m=1

No comments:

Post a Comment