M'sia atasi Thai dalam penarafan jaminan keselamatan makanan
ISNIN, 13 FEBRUARI 2017 @ 4:27 PM
KUALA LUMPUR: Malaysia mengatasi negara pengeluar makanan, Thailand dan beberapa negara lain di rantau ini seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam penarafan jaminan keselamatan makanan oleh Food And Agriculture Organization.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata dalam penarafan global yang dijalankan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu, Malaysia menduduki tempat ke-35 daripada 113 negara lain.
Beliau berkata, selama ini, pendekatan dasar makanan negara lebih menumpukan kepada tahap sara diri (SSL) yang mana apabila ia tidak mencapai tahap 100 peratus, ia dianggap sebagai tidak baik.
"Tetapi sebenarnya, SSL bukanlah segala-galanya kerana daripada aspek jaminan keselamatan, kita berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding negara lain di rantau ini walaupun kita sedia maklum Thailand mempunyai teknologi pertanian dan ternakan yang jauh lebih baik dari negara ini.
"Perspektif jaminan keselamatan makanan ini berbeza daripada dasar yang selama ini kita tekankan iaitu SSL. Justeru, saya minta mereka yang terbabit dalam industri untuk melihat perkara ini sebagai suatu asas perbincangan di masa akan datang.
"Mungkin nanti kita boleh membincangkan mengenai tahap beras keluaran tempatan, adakah ia kompetitif untuk pasaran ataupun tidak," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Dialog Niaga Agrobank 2017 (DNA 2017), di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dan Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Pada tahun ini, DNA 2017 mengetengahkan topik jaminan makanan yang seiring dengan fokus strategik negara dalam memastikan keperluan makanan negara mencukupi menjelang tahun 2050 bagi Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Sementara itu, Wan Mohd Fadzmi, berkata pertanian masih lagi menjadi faktor utama bagi pertumbuhan ekonomi negara.
"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk sektor pertanian dijangka mencapai RM93.2 bilion dan angka itu dianggar mencecah RM110.7 bilion pada tahun 2020.
"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga amat komited untuk menangani defisit imbangan perdagangan makanan sebanyak RM18.1 bilion yang dicatatkan dan mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan," katanya.
Info:
* DNA 2017 adalah satu program kepimpinan pemikiran yang bertujuan berkongsi isu, idea, penyelesaian dan maklumat terkini dalam isu perniagaan yang membabitkan pertanian dan agro makanan.
No comments:
Post a Comment