Bernas nafi potong pemutuan padi lebih 50%
17 Januari 2017 1:20 AM
KUALA LUMPUR 16 Jan. – Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pihaknya mengenakan kadar pemotongan pemutuan padi terlalu tinggi sehingga melebihi 50 peratus.
Bernas dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, kualiti pengeluaran hasil padi di empat zon jelapang padi di Semenanjung Malaysia sepanjang 1 Disember sehingga 11 Januari lalu dilaporkan masih baik dengan 85 peratus daripada pengeluaran keseluruhan dikenakan pemotongan pemutuan sebenar tidak melebihi 25 peratus.
Menurut Bernas, perangkaan sama menunjukkan jumlah pemotongan pemutuan sebenar padi yang tinggi sehingga melebihi 50 peratus adalah kes terpencil iaitu 0.2 peratus atau kira-kira 600 tan metrik daripada keseluruhan pengeluaran industri padi tempatan sebanyak 301,081 tan metrik.
“Perangkaan yang diperoleh Bernas adalah bertentangan dengan beberapa laporan yang mendakwa berlaku kadar pemotongan pemutuan padi yang terlalu tinggi.
“Walau bagaimanapun, rekod daripada pembeli padi tempatan termasuk pihak kami, pengilang swasta dan pengilang bumiputera menunjukkan kadar purata potongan harga padi bagi awal musim 2017 meningkat sedikit kepada 25.48 peratus berbanding 22.02 peratus yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Sebelum ini, beberapa akhbar tempatan melaporkan ramai petani menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Bernas yang mengenakan kadar pemotongan padi antara 26 hingga 47 peratus bagi setiap tan metrik yang dijual pada musim lalu serta mendesak syarikat itu menetapkan kadar pemotongan pemutuan padi tidak melebihi 25 peratus.
No comments:
Post a Comment