KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meningkatkan sementara kuota import kubis bulat bagi memastikan bekalan yang mencukupi di samping menstabilkan harga sayur tersebut di pasaran.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata harga pasaran kubis bulat di Malaysia meningkat akibat lonjakan permintaan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
"Pengurangan kawasan tanaman sayuran di Cameron Highlands sebanyak 40 peratus iaitu dari 1,600 hektar ke 1,000 hektar dilihat sebagai punca bekalan sayur itu berkurangan.
"Bagaimanapun, peningkatan import ini akan sentiasa dipantau bagi memastikan tiada berlaku lambakan bekalan sehingga menjejaskan pendapatan petani tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.
Katanya berdasarkan maklum balas serta impak peningkatan kuota import itu, pihaknya akan mengkaji kemungkinan meliberalisasikan kuota import sayuran tersebut pada masa hadapan.
"Ia bagi memastikan bekalan kubis bulat sentiasa mencukupi di Malaysia memandangkan sayuran tersebut merupakan bahan penting dalam masakan.
"Kementerian akan mempertimbangkan dan membantu untuk menaikkan tambahan jumlah import sebanyak 1,500 ke 2,000 tan metrik hanya untuk Tahun Baharu Cina ini, berbanding 6,000 tan metrik sebulan pada masa ini," katanya.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata bagi bekalan ikan, kementerian mempunyai kaedah tertentu bagi memastikan ia sentiasa mencukupi.
"Saya akan melihatnya secara berasingan kerana ada bekalan ikan rakyat, kita ada stok penimbal, kita akan melepaskan stok penimbal dan kita juga akan membuat larangan eksport ikan-ikan kecil, khususnya ikan rakyat seperti kembung, pelaling dan sebagainya, menjelang Tahun Baharu Cina," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment