KUALA LUMPUR - Banjir gelombang kedua kini sudah mula melanda beberapa kawasan di Kelantan nyata membimbangkan masyarakat di sana.
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membuat tindakan serta-merta untuk mengedarkan sejumlah 1,506 Kit Makanan Permulaan (KMP) sebagai tambahan stok.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak mendakwa KMP tersebut mula diedarkan semalam (Jumaat) dan hari ini ke pusat-pusat pemindahan sebagai tambahan stok sebelum ini sewaktu gelombang pertama.
“Kit ini diisi dengan produk-produk FAMA berjenama Agromas, antaranya biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis, serta barangan keperluan seperti cawan dan sudu plastik.
"Ternyata ia memberikan keselesaan kepada mangsa banjir terutama pada hari-hari pemindahan," katanya.
KMP merupakan inisiatif berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama FAMA sebagai pembekal kit, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai agensi yang menguruskan pusat-pusat pemindahan banjir seluruh negara.
Sepanjang musim tengkujuh ini, sebanyak hampir 5,300 set kit tersebut telah diedarkan di Terengganu dan 8,487 set KMP telah diedarkan di Kelantan.
Pengedaran kit tersebut ini mula dilaksanakan sejak musim tengkujuh lagi dan merupakan salah satu SOP yang diambil daripada Model Kemaman Siap Siaga.
Model ini telah diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana di peringkat tempatan.
No comments:
Post a Comment