KELANA JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan komoditi seperti sayur dan buah di kawasan dilanda banjir tidak akan terputus, selain terus dijual pada harga berpatutan. Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin, berkata FAMA mempunyai logistik mencukupi dengan membekalkan bahan komoditi dari beberapa lokasi, termasuk Cameron Highlands ke kawasan dilanda banjir iaitu Kelantan dan Terengganu. Katanya, pegawai FAMA yang ditempatkan di lokasi banjir akan memaklumkan kepada ibu pejabat mengenai situasi semasa bekalan makanan sebelum mengarahkan penghantaran bahan komoditi bersesuaian. "Kita bekerja sepenuh masa ketika waktu banjir bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan dan memperoleh makanan mencukupi ketika berdepan pelbagai kesusahan kerana segelintir ditempatkan di pusat pemindahan. "Bantuan khusus ini akan terus disalurkan menerusi jualan bahan makanan di cawangan terpilih seperti pasar tani, MyFarm Outlet, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Desaraya, Agrobazar Kedai Rakyat dan My Best Buy Fama di Kelantan dan Terengganu. "Setakat ini, kita salurkan bantuan untuk mangsa banjir di 40 lokasi terpilih di kedua-dua negeri berkenaan," katanya selepas mengadakan Program Lawatan Kerja Tinjauan Harga dan Bekalan di Pasar Tani, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak. Badruddin berkata sayuran berdaun seperti sawi, kangkung dan bayam di Kelantan dan Terengganu ketika ini mengalami penyusutan bekalan berikutan banjir yang melanda kedua-dua negeri terbabit sejak penghujung Disember, tahun lalu. Keadaan itu, katanya, menyebabkan harga sayuran berkenaan meningkat antara 20 hingga 40 peratus, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan mangsa banjir untuk menampung kehidupan di pusat pemindahan. "Hasil perbincangan baru-baru ini, kita mendapat kerjasama daripada peniaga pasar tani dan pusat jualan dianjurkan FAMA untuk menyerap kenaikan harga bagi memastikan mangsa banjir tidak menanggung beban. "Ini adalah masanya untuk peniaga menyelami keperitan pengguna, khususnya di Kelantan dan Terengganu dengan mengamalkan sikap susah senang bersama. "Sehubungan itu, peniaga pasar tani akan teruskan komitmen menjual produk pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah daripada kadar pasaran kerana mereka mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dijalankan terhadap pengguna," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/231361?m=1
No comments:
Post a Comment