Kemaman, 5 Januari 2017 – 145 orang mangsa banjir dan keluarga mereka boleh menarik sedikit nafas kelegaan apabila menerima tuntutan RM1,000 setiap seorang daripada skim insuran bencana yang mereka telah langgani.
Skim Kampungku ini adalah sebahagian daripada Model Kemaman Siap Siaga, yang sebelum ini diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana di peringkat tempatan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kamaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun telah diberikan penarafan “gold standard” oleh Perdana Menteri pada 2014, namun Model ini terus ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Sekali lagi Kemaman berharap untuk muncul sebagai contoh dan rujukan dengan pengenalan skim insurans Kampungku ini. Walaupun bencana tidak dapat dielakkan, namun pelindungan sewajarnya boleh diambil untuk mengurangkan beban apabila bencana terjadi,” katanya.
Ternyata skim insurans Kampungku ini telah banyak membantu para penduduk, terutama yang dilanda musibah banjir.
Dengan hanya membayar premium RM50, dan tambahan RM24 dibayar Pejabat Parlimen Kemaman, pengambil polisi akan menerima RM1,000 apabila rumah mereka dinaiki air. Tempoh pemprosesan dan pembayaran yang pantas, iaitu seminggu, turut melegakan mangsa yang perlu mengeluarkan perbelanjaan semasa proses membersihkan rumah masing-masing selepas air surut.
Selain banjir, pengambil polisi juga dilindungi bencana lain seperti ribut dan kebakaran selama setahun.
Sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh kali ini, sebanyak hampir 5,000 orang telah mendaftar untuk melanggani insurans tersebut dan membayar premium yang dikenakan.
Berikutan banjir yang melanda, setakat hari ini, 145 orang yang membuat tututan dan diluluskan untuk pembayaran. Jumlah ini akan meningkat sekiranya air terus naik dan lebih banyak rumah yang terjejas.
No comments:
Post a Comment