Friday, 6 January 2017

NADMA AGIH 9,900 KIT MAKANAN PERMULAAN PD MANGSA BANJIR

NADMA agih 9,900 KMP kepada mangsa banjir

JUMAAT, 6 JANUARI 2017 @ 8:46 PM

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengagihkan 5,300 set Kit Makanan Permulaan (KMP) di Terengganu dan 4,600 set KMP di Kelantan sepanjang musim tengkujuh, baru-baru ini.

Menerusi inisiatif berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu, NADMA bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai pembekal kit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi menguruskan pusat pemindahan banjir seluruh negara.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Zaitun Ab Samad, berkata kit berkenaan diisi produk FAMA berjenama Agromas yang sedia dimakan.

Beliau berkata, produk lain dibekalkan ialah biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman kopi 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis dan barangan keperluan seperti cawan serta sudu plastik.

"Kit KMP diagihkan kepada setiap keluarga menerusi ketua isi rumah masing-masing apabila mendaftar masuk ke pusat pemindahan.

"Keperluan asas ini amat bernilai kepada mangsa, yang ada antaranya datang sehelai sepinggang kerana berpindah dari rumah mereka secara tergesa-gesa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaitun berkata, pengedaran kit dilaksanakan pada musim tengkujuh tahun 2015-2016 dan antara prosedur operasi standard (SOP) Model Kemaman Siap Siaga yang diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana peringkat tempatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, berkata FAMA sendiri menentukan Pusat Penyediaan Produk dan lokasi pengedaran kit bagi memastikan kelancaran proses pengedarannya di negeri dilanda banjir di Semenanjung.

"FAMA turut mendapat kerjasama pasukan keselamatan setempat seperti JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), yang diselaraskan NADMA dalam pengedaran kit ke kawasan terjejas banjir.

"FAMA sentiasa bersedia memastikan bekalan kit dapat menampung keperluan sekiranya lebih ramai mangsa dipindahkan," katanya

No comments:

Post a Comment