Tuesday, 14 March 2017

TIADA HARGA SILING UNTUK IKAN KEMBUNG - MENTERI


   KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak berhasrat untuk menetapkan
harga siling ikan kembung dan 'ikan rakyat' yang lain buat masa ini walaupun
harga ikan naik ketika ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk
Seri Ahmad Shabery Cheek.
    Beliau berkata sebaliknya harga ikan tersebut akan terus ditentukan
oleh pasaran sementara kawalan harga akan menyebabkan penyalahgunaan stok ikan
berkenaan.
    "Dalam ekonomi, kurang peraturan lagi bagus. Biar pasaran yang
menentukannya. Kalau terlalu kawal nanti ada penyalahgunaan," katanya pada Waktu
Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
    Beliau menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mengenai
harga ikan kembung di pasaran yang tiba-tiba melonjak dan langkah untuk
mengatasi keadaan itu.
    Ahmad Shabery berkata harga ikan kembung yang tinggi sekarang ini dijangka
bersifat sementara kerana terdapat kekurangan pendaratan ikan berkenaan oleh
nelayan.
    "Ini kerana terdapat perubahan corak cuaca tahun ini. Kita jangka
tengkujuh sepatutnya berakhir Januari atau Februari dan ikan kembung akan
naik (mendarat) banyak. Tetapi ini sehingga Mac masih kurang naik.
    "Kita jangka April ini pendaratan ikan kembung kembali banyak dan harga akan
stabil semula," katanya.
    Menjawab soalan tambahan Mastura mengenai rancangan kerajaan membangunkan
ternakan ikan air tawar agar tidak bergantung kepada ikan marin, Ahmad Shabery
berkata kerajaan sedang berusaha ke arah itu.
    Katanya lebih banyak kawasan berpotensi untuk ternakan ikan air tawar akan
dibangunkan di seluruh negara bagi mencapai sasaran bekalan 50 peratus ikan
negara datang daripada ikan ternakan.
    -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment