Saturday, 21 January 2017

fama edar kit banjir

KUALA LUMPUR - Banjir gelombang kedua kini sudah mula melanda beberapa kawasan di Kelantan nyata membimbangkan masyarakat di sana.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membuat tindakan serta-merta untuk mengedarkan sejumlah 1,506 Kit Makanan Permulaan (KMP) sebagai tambahan stok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak mendakwa KMP tersebut mula diedarkan semalam (Jumaat) dan hari ini ke pusat-pusat pemindahan sebagai tambahan stok sebelum ini sewaktu gelombang pertama.

“Kit ini diisi dengan produk-produk FAMA berjenama Agromas, antaranya biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis, serta barangan keperluan seperti cawan dan sudu plastik.

"Ternyata ia memberikan keselesaan kepada mangsa banjir terutama pada hari-hari pemindahan," katanya.

KMP merupakan inisiatif berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama FAMA sebagai pembekal kit, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai agensi yang menguruskan pusat-pusat pemindahan banjir seluruh negara.

Sepanjang musim tengkujuh ini, sebanyak hampir 5,300 set kit tersebut telah diedarkan di Terengganu dan 8,487 set KMP telah diedarkan di Kelantan.

Pengedaran kit tersebut ini mula dilaksanakan sejak musim tengkujuh lagi dan merupakan salah satu SOP yang diambil daripada Model Kemaman Siap Siaga.

Model ini telah diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana di peringkat tempatan.

Tuesday, 17 January 2017

Kurang import punca harga limau mandarin naik - Ahmad Shabery

Kurang import punca harga limau mandarin naik - Ahmad Shabery

17 Januari 2017 1:28 PM

KLANG 17 Jan. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan kekurangan bekalan dan kenaikan harga limau mandarin ketika ini disebabkan pengimport mengurangkan jumlah import buah-buahan itu ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun kerajaan tidak lagi mengenakan permit import (AP) terhadap buah-buahan itu sejak 2015, pengimport tidak mahu membawa masuk buah tersebut dalam kuantiti banyak bagi mengelakkan berlaku lebihan penawaran.

Berbanding tahun lalu, bekalan limau mandarin masuk ke negara ini mencecah 56,000 tan metrik sehingga berlaku lebihan yang menyebabkan harganya lebih rendah iaitu sekitar RM15 hingga RM25 sekotak mengikut kualiti.

“Selain pengurangan import, faktor kos pembungkusan dan kadar tukaran matawang juga turut menyebabkan kenaikan harga buah-buahan itu sekitar RM1 hingga RM2 ketika ini.

“Setakat ini, jumlah bekalan limau mandarin masuk ke negara ketika ini adalah sebanyak 35,000 tan metrik. Bagaimanapun, minggu depan kita jangkakan tambahan bekalan sebanyak 12,000 tan metrik akan dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan tinjauan bekalan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pelabuhan Utara di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Monday, 16 January 2017

Bernas nafi potong pemutuan padi lebih 50%

Bernas nafi potong pemutuan padi lebih 50%

17 Januari 2017 1:20 AM

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pihaknya mengenakan kadar pemotongan pemutuan padi terlalu tinggi sehingga melebihi 50 peratus.

Bernas dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, kualiti pengeluaran hasil padi di empat zon jelapang padi di Semenanjung Malaysia sepanjang 1 Di­sember sehingga 11 Januari lalu dilaporkan masih baik dengan 85 peratus daripada pengeluaran keseluruhan dikenakan pemotongan pemutuan sebenar tidak melebihi 25 peratus.

Menurut Bernas, perangkaan sama menunjukkan jumlah pemotongan pemutuan sebenar padi yang tinggi sehingga melebihi 50 peratus adalah kes terpencil iaitu 0.2 peratus atau kira-kira 600 tan metrik daripada keseluruhan pengeluaran industri padi tempatan sebanyak 301,081 tan metrik.

“Perangkaan yang diperoleh Bernas adalah bertentangan dengan beberapa laporan yang mendakwa berlaku kadar pemotongan pemutuan padi yang terlalu tinggi.

“Walau bagaimanapun, rekod daripada pembeli padi tempatan termasuk pihak kami, pengilang swasta dan pengilang bumiputera menunjukkan kadar purata potongan harga padi bagi awal musim 2017 meningkat sedikit kepada 25.48 peratus berbanding 22.02 peratus yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa akhbar tempatan melaporkan ramai petani menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Bernas yang mengenakan kadar pemotongan padi antara 26 hingga 47 peratus bagi setiap tan metrik yang dijual pada musim lalu serta mendesak syarikat itu menetapkan kadar pemotongan pemutuan padi tidak melebihi 25 peratus.

Saturday, 14 January 2017

BLB: Salur bantuan RM3.7 juta bantu 3,000 pesawah


MOHD. HUSSAIRY SIDEK /
14 Januari 2017 2:36 PM

SABAK BERNAM 14 Jan. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merancang untuk menyediakan peruntukan khas dianggarkan berjumlah RM3.7 juta bagi membantu lebih 3,000 pesawah di kawasan Barat Laut Selangor yang terjejas akibat serangan penyakit hawar daun bakteria (BLB) pada tanaman mereka ketika ini.

Rancangan itu dinyatakan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selain menyatakan pelaksanaan bantuan itu masih lagi dalam kajian pihaknya yang turut meneliti jumlah kerugian sebenar yang dialami para pesawah yang terlibat termasuklah bentuk bantuan yang diperlukan oleh para pesawah yang terlibat.

Jumlah peruntukan itu dilihat besar kerana tanaman yang terjejas akibat BLB di kawasan ini melibatkan keluasan lebih 7,700 ekar (3,116 hektar), katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Ramah Mesra Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar di Parit 12 Gambut, dekat Sungai Panjang, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

- See more at: http://m.utusan.com.my/sains-teknologi/pertanian/blb-salur-bantuan-rm3-7-juta-bantu-3-000-pesawah-1.431415#sthash.sVlUfEa3.dpuf

Tuesday, 10 January 2017

KUOTA IMPORT KUBIS BULAT DITINGKATKAN SEMENTARA

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meningkatkan sementara kuota import kubis bulat bagi memastikan bekalan yang mencukupi di samping menstabilkan harga sayur tersebut di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata harga pasaran kubis bulat di Malaysia meningkat akibat lonjakan permintaan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

"Pengurangan kawasan tanaman sayuran di Cameron Highlands sebanyak 40 peratus iaitu dari 1,600 hektar ke 1,000 hektar dilihat sebagai punca bekalan sayur itu berkurangan.

"Bagaimanapun, peningkatan import ini akan sentiasa dipantau bagi memastikan tiada berlaku lambakan bekalan sehingga menjejaskan pendapatan petani tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

Katanya berdasarkan maklum balas serta impak peningkatan kuota import itu, pihaknya akan mengkaji kemungkinan meliberalisasikan kuota import sayuran tersebut pada masa hadapan.

"Ia bagi memastikan bekalan kubis bulat sentiasa mencukupi di Malaysia memandangkan sayuran tersebut merupakan bahan penting dalam masakan.

"Kementerian akan mempertimbangkan dan membantu untuk menaikkan tambahan jumlah import sebanyak 1,500 ke 2,000 tan metrik hanya untuk Tahun Baharu Cina ini, berbanding 6,000 tan metrik sebulan pada masa ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata bagi bekalan ikan, kementerian mempunyai kaedah tertentu bagi memastikan ia sentiasa mencukupi.

"Saya akan melihatnya secara berasingan kerana ada bekalan ikan rakyat, kita ada stok penimbal, kita akan melepaskan stok penimbal dan kita juga akan membuat larangan eksport ikan-ikan kecil, khususnya ikan rakyat seperti kembung, pelaling dan sebagainya, menjelang Tahun Baharu Cina," katanya. - Bernama

Saturday, 7 January 2017

Apa Istimewanya Banjir Di Kemaman ?

Utusan Malaysia : BANJIR sudah mula melanda negeri-negeri di Pantai Timur beberapa hari lalu. Walaupun jumlah yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan setakat ini tidak sebesar pada tahun-tahun lalu, banjir tetap banjir.

Apabila ada bencana ini akan pasti berlaku kehilangan harta benda atau nyawa. Skala kerosakan atau kemusnahan sahaja yang berbeza sama ada besar atau kecil.

Oleh kerana banjir sudah se­perti satu ‘acara tahunan’ persiapan bagi menghadapinya sepatutnya bukan lagi menjadi satu masalah. Agensi-agensi terlibat sama ada di peringkat negeri dan pusat sudah cukup berpengalaman untuk berhadapan dengan situasi ini.

Semua agensi juga mempunyai pelan kesiapsiagaan masing-masing. Kerja-kerja membantu mangsa banjir lebih mudah dan berkesan menerusi pelan tindakan yang dirancang lebih awal itu.

Bagaimanapun, nama lagi ban­jir. Bencana alam ini mungkin da­tang pelbagai keadaan, rupa, tidak tentu masa dan secara mengejut.
Pelan tindakan kesiapsiagaan boleh membantu mengurangkan kesan buruk banjir jika perkara seumpama itu berlaku. Apa yang berlaku ketika bah besar besar di Kelantan pada tahun 2014 perlu dijadikan pengajaran.

Kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa banjir dikatakan berlangsung dalam suasana kelam-kabut kerana tidak ada satu pelan atau mekanisme kesiapsiagaan awal.

Keadaan diburukkan lagi dengan ‘kejahatan’ segelintir manusia yang menggunakan media sosial untuk menimbulkan keresahan dan rasa panik dalam kalangan rakyat dengan cerita-cerita tidak benar.

Kesan banjir besar tersebut masih dirasakan sehingga ke hari ini. Jumlah kerugian termasuk kehilangan nyawa dan kemusnah­an harta benda serta infrastruktur mencecah berbilion ringgit.

Segala-galanya lumpuh dalam sekelip mata. Kesan selepas tragedi pa­ling dirasai oleh mangsa. Bencana besar itu ‘menghanyutkan’ seluruh kehidupan mereka.

Kebanyakan mangsa hilang segala-gala­nya. Harta benda, orang tersayang, pekerjaan dan tempat berteduh. Sampai sekarang pun masih ada mangsa yang hidup menumpang.

Rumah yang dihanyutkan air ada yang belum berganti sehingga kini.

Penulis tertarik dengan ‘Model Kemaman Siapsiaga’ satu pelan menghadapi banjir yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pelan itu diguna pakai di daerah tersebut setiap kali banjir. Pengurusan banjir di daerah tersebut mendapat perhatian dan pujian ramai.

Pelan kesiapsiagaan itu telah diangkat sebagai contoh terbaik dalam mengurus banjir dan memperoleh pengiktirafan Gold Standard oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2015.

Pelan tersebut juga dijadikan model kepada prosedur operasi standard (SOP) banjir di kawasan-kawasan terjejas.

Model siapsiaga itu disifatkan sebagai satu pelan yang kom­prehensif dengan memberi penekanan kepada pengurusan sebelum banjir, ketika kejadian dan selepas banjir.

Pelan yang sentiasa ditambah baik itu antara lain menyediakan kemudahan tempat pendaratan helikopter, depot pangkalan hadapan yang mencukupi, pencawang telekomunikasi yang selamat daripada ditenggelami air, janakuasa elektrik tambahan serta kemudahan lain seperti beg tidur yang menjadikan pentadbiran banjir lebih berkesan.

Salah satu aspek lain yang turut diberi keutamaan dalam Mo­del Kemaman Siapsiaga ialah skim insurans untuk mangsa banjir yang dikenali sebagai ‘Kampungku’, dipercayai pertama se­umpamanya diperkenalkan kepada mangsa banjir.

Mangsa-mangsa terlibat perlu membayar RM50 sahaja manakala tambahan RM24 lagi dibayar oleh Pejabat Parlimen Kemaman. Skim itu memberi manfaat besar kepada mangsa banjir di daerah berke­naan.

Menerusi skim insurans itu, mangsa yang ditimpa bencana atau banjir menerima RM1,000 dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dan jumlah tersebut membantu mang­sa membeli banyak barangan keperluan.

Menerusi skim itu juga sejum­lah RM569,000 pampasan insu­rans bencana telah diagihkan kepada 569 mangsa banjir di Kemaman sejak 2015.

Skim yang dikatakan sudah menjadi budaya penduduk di daerah itu turut menarik perhatian penduduk lain yang tidak tinggal di kawasan banjir. Mereka menyertainya sebagai persediaan menghadapi musibah bentuk lain yang membawa kemusnahan harta benda seperti kebakaran dan ribut taufan.

Ahmad Shabery turut me­­rancang memperkenal dan mem­ba­ngunkan pelan insurans per­tanian bagi melindungi petani dan penternak yang menjadi antara kumpulan terbesar mangsa banjir atau bencana lain.

Apa yang terkandung dalam Model Siapsiaga Kemaman seharusnya menjadi ikutan kepada semua agensi yang terlibat dalam pengurusan banjir di negara ini lebih-lebih lagi perkara berkaitan skim perlindungan insurans untuk mangsa banjir.

Selama ini aspek ini seringkali dilihat sebagai sukar untuk dilaksanakan de­ngan kekangan-kekangan tertentu se­perti bajet kewangan, sikap syarikat-syarikat insurans atau institusi kewangan dan jumlah mangsa yang terlalu besar.

Bagaimanapun pelan perlin­du­ng­an insurans Kampungku yang terkandung di dalam model pe­ngurusan banjir Kemaman membuktikan sebaliknya.

Perkara yang baik itu boleh dilaksanakan, berjaya dan banyak meringankan be­ban mangsa banjir.

Pokok pangkalnya mesti ada kesungguh­an dalam ka­langan wakil rakyat terlibat. Ahli Parlimen Kemaman itu telah membuktikannya!

- https://chat.whatsapp.com/1o2tae6AgdID4dp45KTTP9

BEKALAN SAYUR DAN BUAH DIKAWASAN BANJIR TIDAK TERPUTUS

KELANA JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan komoditi seperti sayur dan buah di kawasan dilanda banjir tidak akan terputus, selain terus dijual pada harga berpatutan. Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin, berkata FAMA mempunyai logistik mencukupi dengan membekalkan bahan komoditi dari beberapa lokasi, termasuk Cameron Highlands ke kawasan dilanda banjir iaitu Kelantan dan Terengganu. Katanya, pegawai FAMA yang ditempatkan di lokasi banjir akan memaklumkan kepada ibu pejabat mengenai situasi semasa bekalan makanan sebelum mengarahkan penghantaran bahan komoditi bersesuaian. "Kita bekerja sepenuh masa ketika waktu banjir bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan dan memperoleh makanan mencukupi ketika berdepan pelbagai kesusahan kerana segelintir ditempatkan di pusat pemindahan. "Bantuan khusus ini akan terus disalurkan menerusi jualan bahan makanan di cawangan terpilih seperti pasar tani, MyFarm Outlet, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Desaraya, Agrobazar Kedai Rakyat dan My Best Buy Fama di Kelantan dan Terengganu. "Setakat ini, kita salurkan bantuan untuk mangsa banjir di 40 lokasi terpilih di kedua-dua negeri berkenaan," katanya selepas mengadakan Program Lawatan Kerja Tinjauan Harga dan Bekalan di Pasar Tani, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak. Badruddin berkata sayuran berdaun seperti sawi, kangkung dan bayam di Kelantan dan Terengganu ketika ini mengalami penyusutan bekalan berikutan banjir yang melanda kedua-dua negeri terbabit sejak penghujung Disember, tahun lalu. Keadaan itu, katanya, menyebabkan harga sayuran berkenaan meningkat antara 20 hingga 40 peratus, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan mangsa banjir untuk menampung kehidupan di pusat pemindahan. "Hasil perbincangan baru-baru ini, kita mendapat kerjasama daripada peniaga pasar tani dan pusat jualan dianjurkan FAMA untuk menyerap kenaikan harga bagi memastikan mangsa banjir tidak menanggung beban. "Ini adalah masanya untuk peniaga menyelami keperitan pengguna, khususnya di Kelantan dan Terengganu dengan mengamalkan sikap susah senang bersama. "Sehubungan itu, peniaga pasar tani akan teruskan komitmen menjual produk pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah daripada kadar pasaran kerana mereka mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dijalankan terhadap pengguna," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/231361?m=1

Friday, 6 January 2017

NADMA AGIH 9,900 KIT MAKANAN PERMULAAN PD MANGSA BANJIR

NADMA agih 9,900 KMP kepada mangsa banjir

JUMAAT, 6 JANUARI 2017 @ 8:46 PM

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengagihkan 5,300 set Kit Makanan Permulaan (KMP) di Terengganu dan 4,600 set KMP di Kelantan sepanjang musim tengkujuh, baru-baru ini.

Menerusi inisiatif berkonsepkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu, NADMA bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebagai pembekal kit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi menguruskan pusat pemindahan banjir seluruh negara.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Zaitun Ab Samad, berkata kit berkenaan diisi produk FAMA berjenama Agromas yang sedia dimakan.

Beliau berkata, produk lain dibekalkan ialah biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman kopi 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis dan barangan keperluan seperti cawan serta sudu plastik.

"Kit KMP diagihkan kepada setiap keluarga menerusi ketua isi rumah masing-masing apabila mendaftar masuk ke pusat pemindahan.

"Keperluan asas ini amat bernilai kepada mangsa, yang ada antaranya datang sehelai sepinggang kerana berpindah dari rumah mereka secara tergesa-gesa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaitun berkata, pengedaran kit dilaksanakan pada musim tengkujuh tahun 2015-2016 dan antara prosedur operasi standard (SOP) Model Kemaman Siap Siaga yang diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana peringkat tempatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak, berkata FAMA sendiri menentukan Pusat Penyediaan Produk dan lokasi pengedaran kit bagi memastikan kelancaran proses pengedarannya di negeri dilanda banjir di Semenanjung.

"FAMA turut mendapat kerjasama pasukan keselamatan setempat seperti JKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), yang diselaraskan NADMA dalam pengedaran kit ke kawasan terjejas banjir.

"FAMA sentiasa bersedia memastikan bekalan kit dapat menampung keperluan sekiranya lebih ramai mangsa dipindahkan," katanya

Thursday, 5 January 2017

RM569,000 PAMPASAN INSURAN BENCANA BANJIR DIEDARLAN

RM569,000 pampasan Insuran bencana banjir diagih

06 Januari 2017 12:15 AM

KEMAMAN 5 Jan. - Sebanyak RM569,000 pampasan insurans bencana telah diagihkan kepada 569 mangsa banjir di Kemaman sejak November 2015, kata Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery Cheek

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM424,000 telah diagihkan kepada 424 mangsa banjir di Parlimen Kemaman tahun lalu manakala RM145,000 pula diagihkan kepada mangsa banjir hari ini.

“Skim yang dinamakan ‘Kampungku’ ini adalah sebahagian daripada Model Kemaman Siap Siaga yang diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana, mangsa banjir hanya membayar sebanyak RM50 dan tambahan RM24 lagi dibayar oleh Pejabat Parlimen Kemaman.

“Skim insurans ini telah menjadi budaya di daerah ini, pada mulanya hanya penduduk yang pernah dilanda banjir sahaja mencarum tetapi sekarang ini penduduk di kawasan yang tak pernah kena banjir pun turut menyertainya kerana keperluan mungkin bencana lain menimpa seperti ribut, kebakaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasik bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Shabery berkata, skim insurans yang diperkenalkan selepas berhadapan dengan banjir buruk pada 2014 itu memberi manfaat kepada mangsa banjir di daerah tersebut.

“Mangsa yang ditimpa bencana atau banjir akan menerima RM1,000 dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dan bagi saya dengan wang tersebut mereka boleh beli banyak keperluan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, pihaknya juga telah meminta Agro Bank untuk turut membangunkan insurans pertanian bagi melindungi petani dan penternak sekiranya ditimpa bencana.

“Bagi saya insurans ini penting kerana pertanian merupakan satu sektor yang mempunyai risiko yang besar. Kalau tak kerana banjir, mungkin penyakit, kemarau dan sebagainya...ia sentiasa ada risiko,” katanya.

Mengulas mengenai banjir yang berlaku ketika ini, beliau berkata, pihaknya sedang membuat penilaian keseluruhan kemusnahan pertanian dan penternakan akibat bencana yang berlaku di seluruh negara.

“Setakat ini yang paling besar ialah di Kelantan, Hulu Terengganu dan di beberapa kawasan di Terengganu...kita akan mendapatkan maklumat terperinci berapa penternak dan petani yang terjejas serta jumlah kerugian sebenar,” katanya. – BERNAMA

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/rm569-000-pampasan-8232-bencana-banjir-diagih-1.428490#sthash.9Hd1os8L.dpuf

Wednesday, 4 January 2017

145 Mangsa Banjir Kemaman terima tuntutan Insuran


Kemaman, 5 Januari 2017 – 145 orang mangsa banjir dan keluarga mereka boleh menarik sedikit nafas kelegaan apabila menerima tuntutan RM1,000 setiap seorang  daripada skim insuran bencana yang mereka telah langgani.

Skim Kampungku ini adalah sebahagian daripada Model Kemaman Siap Siaga, yang sebelum ini diiktiraf sebagai contoh terbaik pengurusan bencana di peringkat tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kamaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, walaupun telah diberikan penarafan “gold standard” oleh Perdana Menteri pada 2014, namun Model ini terus ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Sekali lagi Kemaman berharap untuk muncul sebagai contoh dan rujukan dengan pengenalan skim insurans Kampungku ini. Walaupun bencana tidak dapat dielakkan, namun pelindungan sewajarnya boleh diambil untuk mengurangkan beban apabila bencana terjadi,” katanya.

Ternyata skim insurans Kampungku ini telah banyak membantu para penduduk, terutama yang dilanda musibah banjir.

Dengan hanya membayar premium RM50, dan tambahan RM24 dibayar Pejabat Parlimen Kemaman, pengambil polisi akan menerima RM1,000 apabila rumah mereka dinaiki air. Tempoh pemprosesan dan pembayaran yang pantas, iaitu seminggu, turut melegakan mangsa yang perlu mengeluarkan perbelanjaan semasa proses membersihkan rumah masing-masing selepas air surut.

Selain banjir, pengambil polisi juga dilindungi bencana lain seperti ribut dan kebakaran selama setahun.

Sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh kali ini, sebanyak hampir 5,000 orang telah mendaftar untuk melanggani insurans tersebut dan membayar premium yang dikenakan.

Berikutan banjir yang melanda, setakat hari ini, 145 orang yang membuat tututan dan diluluskan untuk pembayaran. Jumlah ini akan meningkat sekiranya air terus naik dan lebih banyak rumah yang terjejas.

Sunday, 1 January 2017

Agrobazaar KLIA2 mula beroperasi


Agrobazaar KLIA ini mula beroperasi pada 1 Januari 2017. Kini ada 2 cawangan Agrobazaar Malaysia.

Tahniah kepada FAMA yang bertungkus lumus  siapkan Agrobazaar KLIA2 ini.

Nak tau pa yang menarik di Agrobazaar KLIA2 ini, pergi dan lihat sendiri...mcm2 ada. Yg penting harga paling murah di klia 2.

Selain kemunculan Satay Station di Agrobazar, turut menyajikan Husna Nasi Berlauk Kg Air Dingin yang di bawa terus dari Kota Bharu. Hari2 nasi ini akan dihantar melalui udara untuk disajikan di Agrobazaar Malaysia KLIA2.

Yang lain2 tu ada produk2 usahawan Industri Asas Tani yang memang berkualiti dan terbaik!!!

Cerita je tak best... Nak best lg pergi sendiri dan lihat dan nikmati sendiri di Agrobazaar Malaysia di KLIA 2.

#AgrobazaarMalaysiaAtKLIA2
#NasiAirDingin
#SateStation
#TN50
#famafihatirakyat
#FromFarmToTable
#KLIA2

Agrobazaar Malaysia