Saturday, 25 February 2017

Tabung hasil padi luar jangka akan ditubuh

KEMAMAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menubuhkan Tabung Hasil Padi Luar Jangka khusus untuk membantu golongan pesawah yang mengalami kerugian hasil pengeluaran akibat pelbagai musibah.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya sedar masalah yang sering melanda pesawah akibat perkara luar jangkaan seperti penyakit padi dan serangan makhluk perosak selain faktor cuaca seperti kemarau dan banjir.

"Kementerian akan memikirkan mekanisme terbaik untuk mencari dana bagi mengisi tabung tersebut dan buat permulaan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga akan memberi sumbangan kepada tabung itu.

"Dana daripada Tabung Pengeluaran Hasil Padi Luar Jangka ini boleh digunakan bagi mengimbangi pendapatan pesawah sekiranya hasil tuaian mereka pada satu-satu musim itu berkurangan daripada kebiasaan akibat faktor-faktor luar jangka tersebut.

"Sekiranya pengurangan pengeluaran padi oleh pesawah ini berlaku secara menyeluruh, adalah menjadi tanggungjawab kementerian untuk membantu mereka dan satu di antaranya melalui tabung ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai masalah yang dibangkitkan Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor, Budiman Mohd Zohdi mengenai keluhan pesawah di kawasan itu yang terjejas teruk setelah diserang wabak penyakit hawar daun bakteria akhir tahun lalu.

Terdahulu Ahmad Shabery merasmikan Forum Agribisnes & Teknologi Usahawan Muda Kemaman di Chukai di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Mengulas lanjut, beliau berkata saiz dana tabung serta mekanisme penilaian dan bantuan masih sedang diperincikan oleh kementerian dengan mengambil pandangan semua pihak termasuk petani. - Bernama

Friday, 24 February 2017

Snow Fish’ Beri Pulangan Besar Peniaga Ikan Bakar

Published on Feb 24, 2017

KEMAMAN – Para usahawan yang berminat menceburi bidang perniagaan makanan berasaskan ikan bakar dipelawa mencuba menu terbaharu yang diperkenalkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) iaitu ikan tilapia bakar bersalut garam yang dikenali sebagai ‘snow fish’.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata teknologi, kaedah dan resipi untuk menu tersebut telah disediakan oleh DOF.

Katanya, pengusaha yang berminat untuk menceburi bidang ini boleh mengguna pakai model perniagaan ‘Pakej Snow Fish’ yang berpotensi memberikan pulangan lumayan melebihi RM6,000 sebulan kepada pengusahanya.

“Dengan keupayaan mesin yang direka khas untuk membakar ikan tilapia itu sebanyak 50 ekor sehari, peniaga yang mengambil Pakej Snow Fish ini berpeluang mendapat RM6,000 sebulan.

“Pada masa ini, cara membakar ikan seperti ini amat jarang dilihat di Malaysia dan kita menjangkakan permintaan yang tinggi daripada peminat ikan bakar hasil promosi yang sedang berjalan ketika ini.

“Secara tidak langsung dapat mengubah persepsi rakyat Malaysia terutama generasi terdahulu yang sering menganggap ikan air tawar sebagai ikan kategori ‘kelas kedua’ atau ‘kualitinya rendah’ selepas ikan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan menu dan pakej Snow Fish peringkat kebangsaan di Dataran Pantai Kemasik di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan.

Pada majlis tersebut, Ahmad Shabery turut menyampaikan 35 mesin snow fish kepada usahawan perintis snow fish di seluruh negara di bawah bimbingan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata sudah tiba masanya ikan air tawar diberi nafas baharu dengan memperkenalkan pelbagai menu yang lebih istimewa dan unik, paling penting boleh diterima ramai sebagai selera rakyat Malaysia.

“Sekarang pun ikan air tawar harganya lebih mahal berbanding ikan laut dan saya berharap lebih ramai golongan muda akan menceburinya untuk dijadikan sumber pendapatan utama mereka,” katanya.

Setakat ini, seorang peniaga di Kelantan yang terlibat dalam projek perintis model perniagaan tersebut mampu menjual sehingga 200 ekor ikan sehari.

Sementara itu, Ismail berkata kementerian turut menyediakan kemudahan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional bagi memulakan perniagaan snow fish melalui skim TemanNita dan TEMAN TEKUN kepada para usahawan yang berminat dengan perniagaan ini.

“Selain snow fish, model perniagaan ‘Dancing Tilapia’ turut diperkenalkan oleh pihak jabatan khusus untuk ikan air tawar yang bakal memberi pulangan sehingga RM5,000 sebulan jika diusahakan dengan jayanya.

“Jabatan juga berjaya melahirkan seorang usahawan memproses sate tuna yang beroperasi di Labuan dengan kerjasama Pejabat Perikanan Labuan yang sedang meluaskan rangkaian promosi dan pasaran sate tuna sebagai hab industri hiliran ke seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

Thursday, 23 February 2017

Women Best Borrowers Of Tekun Nasional Fund – Ahmad Shabery

Women Best Borrowers Of Tekun Nasional Fund – Ahmad Shabery

Feb 23, 2017

SERDANG – Women’s excellent record as borrowers of the Tekun Nasional fund has inspired the agency to launch a new financing product for them, the TemanNita Financing Scheme.

Agriculture and Agro-based Industry Minister, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek said women were the best borrowers as they had a high level of commitment in repaying their loans.

“Therefore, more women entrepreneurs should be created,” he said in his speech when launching the new scheme together with the adviser on women entrepreneurship and professional development in the Prime Minister’s Department, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

After the launch, Ahmad Shabery told reporters that women who were hawkers or doing small businesses or wishing to start a business could apply for loans under under the TemanNita Financing Scheme with RM100 million allocated for this year.

“Women who are household heads are encouraged to apply to boost their family’s economy. This allocation is a big meaning for those women doing business and also being the household heads,” he said.

He added that if each women could receive a loan of RM10,000 from the RM100 million allocation, 10,000 women entrepreneurs could be created.

The TemanNita Financing Scheme uses the group concept in providing the funding in an easier, faster and efficient manner to do business.

Each group consists of five members with the first loan limited to RM10,000 and the subsequent loan up to RM20,000.

Shahrizat, in her speech, described the financing scheme as one that would empower women economically, which would thus have a positive impact on the family institution. – BERNAMA

TemanNita sedia dana RM100 juta bantu usahawan wanita

KHAMIS, 23 FEBRUARI 2017 - 7:00PM Oleh Fahmy Azril Rosli fahmy.azril@bh.com.my

SERDANG: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional melancarkan produk pembiayaan terbaru iaitu Skim Pembiayaan Program TemanNita khusus bagi wanita, dengan dana berjumlah RM100 juta tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata skim itu dijangka dapat membantu dan mendorong golongan wanita menambah pendapatan serta meningkatkan ekonomi keluarga sebagai usahawan.

Setakat ini, katanya, seramai 140 usahawan membabitkan 28 kumpulan sudah menerima pembiayaan berjumlah RM990,000, dengan 10,000 usahawan menjadi sasaran menikmati skim terbabit.

"Skim ini menggunakan konsep berkumpulan yang menyediakan kemudahan pembiayaan lebih mudah, cepat dan berkesan, sekali gus memenuhi keperluan perniagaan mikro.

"Pemohon mesti membentuk kumpulan membabitkan lima ahli wanita sebagai antara syarat layak mendapat pembiayaan.

"Menerusi skim ini, had pembiayaan pertama adalah RM10,000 dan pembiayaan seterusnya sehingga RM20,000, sesuai dengan keperluan usahawan mikro," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Pembiayaan Program TemanNita yang turut dihadiri Penasihat Pembangunan Keusahawanan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, TEKUN bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang bertindak sebagai agensi pembangunan dalam usaha mempelbagaikan cabang perniagaan kepada usahawan.

"Melalui kerjasama ini, usahawan wanita yang berminat boleh mendapat modal untuk menjalankan perniagaan berkonsepkan francais seperti Ayan Pusing Bonda, Putu Bambu World, Lpizz, Oblong Burger dan Talapia Bakar," katanya.

Ahmad Shabery turut memuji komitmen tinggi golongan wanita yang membuktikan mereka adalah peminjam yang baik dari segi pembayaran balik.

Dalam pada itu, Shahrizat mencadangkan wanita yang menjadi ketua keluarga dan ibu tunggal diberi peluang menambah pendapatan bagi membantu keluarga.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/252108?m=1

Sunday, 19 February 2017

FAMA Optimis Capai Sasaran 1,000 Pasar Tani Menjelang 2020

FAMA Optimis Capai Sasaran 1,000 Pasar Tani Menjelang 2020

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Sebanyak 664 pasar tani beroperasi di seluruh negara ketika ini, melibatkan 28,574 peserta, kata Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Beliau berkata jumlah itu menghampiri sasaran FAMA untuk mewujudkan 1,000 pasar tani di seluruh negara menjelang 2020.

"FAMA mahu bantu rakyat berniaga. Kami juga beri peluang kepada mana-mana graduan universiti yang masih belum mendapat pekerjaan untuk menjadi usahawan FAMA.

"Pengguna pula dapat menikmati harga barangan segar antara lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pasar Tani Masjid Kota Damansara di sini hari ini.

Menurut Badruddin, FAMA juga tidak mengetepikan golongan asnaf dengan memberi peluang kepada golongan itu untuk menyertai bidang perniagaan.

"Untuk hari ini, 10 usahawan asnaf turut serta berniaga makanan dan minuman. Selain memberi tapak kepada mereka, FAMA juga sediakan kanopi serta peralatan berniaga," katanya.

Sementara itu, Badruddin berkata kerjasama FAMA bersama anggota jawatankuasa Masjid Kota Damansara telah membawa kepada kejayaan kewujudan pasar tani berkenaan.

"FAMA bekerjasama dengan anggota jawatankuasa masjid ini bersetuju memulakan pasar tani di perkarangan masjid. Ini yang pertama di Selangor dan keenam di negara ini," katanya.

-- BERNAMA

Monday, 13 February 2017

M'sia atasi Thai dalam penarafan jaminan keselamatan makanan

M'sia atasi Thai dalam penarafan jaminan keselamatan makanan

ISNIN, 13 FEBRUARI 2017 @ 4:27 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia mengatasi negara pengeluar makanan, Thailand dan beberapa negara lain di rantau ini seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina dalam penarafan jaminan keselamatan makanan oleh Food And Agriculture Organization.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata dalam penarafan global yang dijalankan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu, Malaysia menduduki tempat ke-35 daripada 113 negara lain.

Beliau berkata, selama ini, pendekatan dasar makanan negara lebih menumpukan kepada tahap sara diri (SSL) yang mana apabila ia tidak mencapai tahap 100 peratus, ia dianggap sebagai tidak baik.

"Tetapi sebenarnya, SSL bukanlah segala-galanya kerana daripada aspek jaminan keselamatan, kita berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding negara lain di rantau ini walaupun kita sedia maklum Thailand mempunyai teknologi pertanian dan ternakan yang jauh lebih baik dari negara ini.

"Perspektif jaminan keselamatan makanan ini berbeza daripada dasar yang selama ini kita tekankan iaitu SSL. Justeru, saya minta mereka yang terbabit dalam industri untuk melihat perkara ini sebagai suatu asas perbincangan di masa akan datang.

"Mungkin nanti kita boleh membincangkan mengenai tahap beras keluaran tempatan, adakah ia kompetitif untuk pasaran ataupun tidak," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Dialog Niaga Agrobank 2017 (DNA 2017), di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman dan Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Pada tahun ini, DNA 2017 mengetengahkan topik jaminan makanan yang seiring dengan fokus strategik negara dalam memastikan keperluan makanan negara mencukupi menjelang tahun 2050 bagi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sementara itu, Wan Mohd Fadzmi, berkata pertanian masih lagi menjadi faktor utama bagi pertumbuhan ekonomi negara.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk sektor pertanian dijangka mencapai RM93.2 bilion dan angka itu dianggar mencecah RM110.7 bilion pada tahun 2020.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga amat komited untuk menangani defisit imbangan perdagangan makanan sebanyak RM18.1 bilion yang dicatatkan dan mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan," katanya.

Info:

* DNA 2017 adalah satu program kepimpinan pemikiran yang bertujuan berkongsi isu, idea, penyelesaian dan maklumat terkini dalam isu perniagaan yang membabitkan pertanian dan agro makanan.

Perhalusi Mekanisme Bagi Skim Insurans Peladang, Penternak

LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang memperhalusi mekanisme terbaik bagi melaksanakan skim insurans untuk golongan peladang dan penternak dalam menghadapi musibah seperti banjir.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata draf pertama bagi skim insurans yang akan dibangunkan Agrobank itu telah siap, namun pihaknya meminta ia diperhalusi bagi memastikan modul dihasilkan lengkap dan menyeluruh dalam semua peringkat pelaksanaannya.

Beliau berkata ia bagi mengelak sebarang masalah seperti salah faham apabila golongan sasar dikehendaki membiayai sendiri skim insurans yang diambil mereka.

“Jadi saya suruh (Agrobank) fikir balik. Modul ini mestilah betul dari awal-awal lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dialog Niaga Agrobank 2017 (DNA2017) di sini hari ini.

Beliau berkata kementerian juga menjadikan modul skim insurans untuk peladang dan penternak yang diguna pakai di luar negara sebagai rujukan.

Shabery berkata usaha mewujudkan skim insurans itu penting untuk meningkatkan keupayaan golongan berkenaan dalam menghadapi bencana alam tanpa perlu terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Dalam ucapannya pada majlis dihadiri 300 peserta itu, beliau berkata kerajaan sedang merencana kaedah terbaik dalam memastikan rakyat mendapat akses makanan berkualiti yang mencukupi menjelang 2050 ketika negara mempunyai anggaran penduduk 50 juta. – BERNAMA

Saturday, 11 February 2017

FAMA DIMINTA PERBANYAK PASAR TANI MEGA

KUCHING – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diminta mengkaji pembinaan lebih banyak pasar tani mega, dengan menjadikan Medan Niaga Satok di sini sebagai model, susulan kejayaan membanggakan dicapai pasar tani terbesar negara itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ketika ini keperluan yang mendesak dilihat adalah bagi membangunkan model pasar berkenaan di bandar Sibu, yang terletak di bahagian tengah Sarawak, dan di bandar Kapit, di kawasan pedalaman.

Katanya Sarawak memiliki produk pertanian cukup unik yang masih banyak belum diketahui orang ramai terutama di luar Sarawak, yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembang dan dimajukan.

“Cuma yang diperlukan adalah pusat sehenti sempurna bagi tujuan pengumpulan, urusan logistik dan sebagainya buat produk-produk ini. Kita juga perlu cari tempat di Semenanjung untuk lihat bagaimana produk-produk ini boleh dikumpul dan dihantar di tempat lain.

“Juga perlu ada kempen supaya pengeluaran tak bergantung kepada permintaan di Sarawak sahaja, malah turut ada permintaan di Semenanjung, dan mungkin juga ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-4 Medan Niaga Satok di sini yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Fama dalam satu kenyataan yang diedar pada majlis hari ini berkata, sejak ditubuhkan pada 2013, nilai jualan keseluruhan peniaga di Medan Niaga Satok sehingga kini menjangkau lebih RM206 juta.

Menurutnya tahun lepas menyaksikan peningkatan nilai jualan berjumlah RM48 juta berbanding RM45.5 juta pada tahun 2015.

Medan Niaga Satok yang dibina dengan kos RM46.6 juta merupakan projek inisiatif Abang Johari, di kawasan seluas lima hektar di Jalan Matang di sini, yang menyediakan 1,097 lot peniaga. Ia mula beroperasi pada Januari 2013.

Sementara itu, Shabery berkata Medan Niaga Satok wajar dijadikan model untuk pembangunan lebih banyak pasar tani besar di seluruh negara kerana ia merupakan satu contoh sebuah projek yang berskala sederhana tapi memberi impak yang cukup besar.

Beliau berkata Sarawak seharusnya menjadi peneraju dalam bidang pertanian komersial dalam negara kerana ia memiliki kawasan tanah yang cukup luas yang boleh dimajukan dengan sektor pertanian berskala besar.

Menurutnya dengan hasil kerjasama baik kerajaan pusat dan kerajaan negeri, beliau yakin lebih banyak kejayaan dalam bidang pertanian akan dapat dilihat di Sarawak di masa akan datang. – BERNAMA