ROMPIN, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan menubuhkan Lembaga Tenusu Negara awal tahun depan yang berperanan sebagai organisasi merancang dan memacukan pembangunan industri tenusu negara secara holistik dan bersepadu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata lembaga itu, yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, antara lainnya juga memain peranan dalam menggalakkan rakyat mengamalkan minum susu segar.
Beliau berkata lembaga itu turut dianggotai Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pendidikan Tinggi serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
"Ia tidak boleh libatkan sebuah kementerian sahaja sebab banyak kepakaran diperlukan dan pembabitan pelbagai kementerian perlu kita gabungkan sebagai usaha lebih bersepadu untuk mencapai matlamat nasional," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) dekat sini, hari Sabtu.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Datuk Dr Sharif Haron serta Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John.
Najib berkata penubuhan lembaga itu juga adalah di antara usaha kerajaan untuk memastikan bekalan susu negara mencukupi menjelang 2050.
"Kita menyasarkan rakyat Malaysia minum 50 liter susu segar setahun pada 2050. Untuk itu, kita memerlukan 2.260 bilion liter susu segar setahun dengan 223,014 ekor lembu berbanding 21,000 ekor lembu yang ada pada masa sekarang," kata beliau.
Perdana menteri berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk melonjakkan kadar minum susu perkapita itu berbanding jumlah sekarang yang hanya 19.92 liter atau kira-kira 20 liter perkapita setahun.
Sementara itu, Najib berkata Kementerian Pendidikan akan diminta mengurangkan penggunaan susu UHD dalam Program Susu 1Malaysia sebagai minuman susu pelajar sekolah dalam usaha meningkatkan penggunaan susu segar secara berperingkat.
"...kalau kita membudayakan minuman susu, kita mendapat banyak khasiat terutamanya jika menginginkan generasi akan datang lebih kuat, sihat, gagah dan besar badan. "Semuanya boleh dilakukan dengan bekalan daripada punca protein dan kalsium, paling berkesan adalah melalui minuman susu dan kita mesti menggalakkan minuman susu segar dan bukannya susu UHD," kata beliau.
Dalam pada itu, Najib berkata MSCRIC akan dibangunkan sebagai lembah tenusu selain menjadi sebahagian daripada produk ekopelancongan di Muadzam Shah dan Pahang secara amnya.
Beliau berkata pelancong yang melawat pusat itu akan mendapat pengalaman dengan melihat sendiri lebih dekat perusahaan ternakan lembu dan tenusu dilakukan.
"Jadi, kita boleh melihat bahawa industri ini memberi banyak manfaat daripada pelbagai sudut dan dimensi dan kita akan merancangkan ini sebagai projek nasional dan kawasan ini akan dikenali sebagai Muadzam Dairy Valley," katanya.
Najib berkata ia akan meliputi kawasan Muadzam, Segamat, Pekan hingga ke Panching di Kuantan.
MSCRIC diterajui oleh The Holstein Milk Company Sdn Bhd (Holstein) dan ia merupakan sebuah projek perkongsian awam-swasta yang dimulakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada 2012.
Sempena lawatan kerja itu, perdana menteri juga meninjau kerja pembinaan kilang pemprosesan tenusu baharu bernilai RM5 juta yang dibangunkan bersebelahan pusat itu dan dijangka siap akhir tahun ini.
Selain itu, Najib turut menyampaikan surat pelantikan kepada enam peladang satelit Holstein sebagai kumpulan peserta pertama projek serta sijil kepada tiga usahawan mikro program 'Home Dealer' yang paling berjaya menerusi program ECER.
-- BERNAMA
tq bernama