tq kosmo
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm
MAHA 2016 catat acara terbaik MOA
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa (dua dari kanan) turut menyokong sektor agro makanan negara.
PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 merupakan penganjuran terbaik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Acara ini mencatatkan kehadiran pengunjung seramai 3.8 juta orang.
Kejayaan ini seharusnya diberi pujian kepada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang penuh dengan idea-idea pembaharuan dan sentiasa turun ke padang untuk memastikan ia dilaksanakan mengikut seperti yang dirancang.
Salah satu kejayaan penganjuran MAHA 2016 ialah menggunakan peruntukan yang lebih rendah daripada tahun sebelumnya tetapi memberi impak lebih besar. Sudah tentu penganjuran kali ini menunjukkan kesan sinergi dengan pemain-pemain industri swasta.
Dengan sumbangan pembiayaan kewangan, acara ini berjaya menarik minat generasi muda terlibat secara lebih aktif sepanjang tempoh MAHA 2016, sama ada sebagai petugas sukarela yang terdiri daripada pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan peserta Khemah Remaja (Youth Camp) yang memberi pendedahan kepada golongan muda kepada industri agro makanan.
Usahawan muda
Penglibatan usahawan muda yang terdiri daripada majoriti peniaga produk Industri Asas Tani (IAT) dan peniaga aneka makanan istimewa di Empayar Makanan menghidangkan 168 jenis makanan popular di Malaysia.
Kejayaan penganjuran MAHA 2016 kali ini juga perlu diberi penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Ismail Bakar, semua pegawai kanan, Ketua Pengarah Jabatan serta agensi di bawah MOA.
Banyak aspek seperti keselamatan, pengangkutan, keselesaan pengunjung, kemudahan kepada peniaga dan pelbagai aspek lain dibincangkan setiap hari sepanjang MAHA 2016 berlangsung.
Salah satu pengajaran yang perlu diberi perhatian semasa penganjuran ini ialah kejayaan untuk mendapatkan komitmen dan penyertaan pihak swasta sebagai penganjur MAHA selama 11 hari.
Kejayaan ini juga perlu dicontohi dalam pelbagai bidang agro makanan seperti kempen melahirkan golongan Agropreneur Muda, kempen kurangkan penggunaan racun berbahaya dan tidak berdaftar serta pengeluaran produk makanan yang selamat dimakan.
Namun, kempen seperti ini perlu dilaksanakan dalam tempoh yang panjang kerana ia memerlukan perubahan sikap dan membina keyakinan.
Penglibatan syarikat-syarikat besar dan pihak swasta penting dalam menyumbang dalam kejayaan sesebuah program.
Menyentuh tema MAHA 2016, Makanan Kita Masa Depan Kita, ia mengajak kita melihat apakah amalan pertanian yang dilakukan masa kini membolehkan hasil makanan kita selamat dan boleh diwarisi kepada generasi akan datang serta kekal produktif?
Usaha-usaha yang lebih bersepadu perlu kita lakukan untuk menyambut seruan ini. Adakah produk makanan yang dihasilkan seperti beras, buah dan sayur mengambil kira aspek baja dan racun kimia serta cara penggunaan yang selamat?
Sebagai pengeluar baja dan racun kimia adakah kita telah cukup berusaha mengeluarkan produk-produk pilihan yang lebih selamat dan mesra alam sekitar?
Mesra alam
Sebagai penyelidik sama ada agensi, syarikat swasta dan universiti juga perlu memberi tumpuan kepada kajian-kajian ke arah pengeluaran makanan yang mencukupi, selamat dan mampan seperti yang tersirat dalam tema MAHA 2016.
Sebagai pengguna, adakah kita telah bersedia memberi nilai yang sewajarnya kepada produk makanan berkualiti dan selamat? Misalnya, produk yang telah memperoleh sijil myGAP dan myOrganic sudah tentu melibatkan kos tambahan untuk memenuhi syarat persijilan tersebut serta dijual pada harga berpatutan.
MAHA juga menawarkan platform yang sesuai sebagai tempat penemuan pihak awam dan swasta dalam kelangsungan meneruskan perjuangan MOA mencapai kedaulatan makanan.
Dengan meningkatkan keupayaan negara mengeluarkan makanan yang selamat dan berteraskan eksport, usaha ini sekali gus dapat menyumbang pengukuhan nilai mata wang ringgit Malaysia.
Dalam suasana nilai wang ringgit Malaysia yang tidak menentu, kita perlu mengambil kesempatan meningkatkan eksport produk makanan Malaysia seperti buah-buahan, sayuran dan produk IAT.
Usaha penyelidikan pasaran, usaha sama antara pengeluar kecil dan sederhana perlu dipergiatkan serta penglibatan syarikat anchor untuk meningkatkan keupayaan Malaysia mengeksport serta menawarkan kuantiti pasaran eksport.
Jabatan Pertanian bersama agensi lain menggembleng keupayaan pengeluar-pengeluar kecil dan sederhana dalam meningkatkan pengeluaran produk tempatan yang berpotensi untuk eksport.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1219&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz4TFBOXGP2
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment